BERTANDING ATAU TARIK DIRI?
KUALA LUMPUR - Jika diperlukan maka saya akan bantu." Itu kata Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai pendiriannya sama ada mahu bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mei ini.
Tengku Abdullah merupakan calon paling popular dalam kalangan tiga pencalonan yang diterima oleh badan bola sepak kebangsaan itu untuk merebut kerusi panas No. 1 FAM.
Selain beliau, ayahandanya yang juga penyandang jawatan, Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ismail turut dicalonkan.
Tetapi kalau tak perlukan saya..(untuk jadi Presiden), saya tetap akan bantu juga (sebagai Timbalan Presiden)," katanya lagi.
Kenyataan Tengku Abdullah itu seakan memberi bayangan awal bahawa beliau bersedia untuk bertanding andai mendapat sokongan untuk memegang jawatan kerusi panas Presiden dan dalam masa sama, beliau turut senada dengan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang mahu semua pihak bersabar sehingga pengumuman calon bertanding dilakukan pada Sabtu ini.
Ini soalan cepu emas, saya susah sikit nak jawab dan kita lihat sahaja keputusan pada hari tersebut (Sabtu ini) nanti.
Yang boleh jawab soalan itu hanya ahli gabungan kerana ia melibatkan beberapa personaliti lain, Sultan (Sultan Ahmad Shah), Tunku Mahkota (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail) dan masanya akan tiba serta nama-nama akan diumumkan juga," katanya lagi dalam sidang akhbar tajaan kejohanan hoki Cabaran Juara-juara 1, di sini, semalam.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Tengku Abdullah sebagai Presiden.
Sultan Ahmad Shah pula belum menyatakan pendirian sama ada akan mempertahankan jawatan bagi penggal 2014-2018.
Difahamkan Tengku Abdullah menerima 12 pencalonan untuk jawatan Presiden dan salah satu ahli gabungan yang mencalonkan beliau ialah PBNP malah mereka antara yang terakhir menghantar borang pencalonan.
Pada sidang akhbar di Istana Pahang, Khamis lalu, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak bersabar dan tunggu sehingga 19 April ini iaitu pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif terakhir bagi menyatakan jawapan sama ada bertanding atau sebaliknya.
Sultan Ahmad Shah dilaporkan menerima lima pencalonan, sementara Tunku Ismail yang dikhabarkan akan menarik diri meraih tiga pencalonan
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140415/su_01/Tengku-Abdullah-bertanding#ixzz2z2UOOE5U
© Utusan Melayu (M) Bhd